PONTIAN, 19 Julai- Seorang pemandu lori lelaki maut, selepas lori dipandu terlibat kemalangan jalan raya di Kilometer 45.5 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, Pontian, Johor, pukul 2.00 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata mangsa berumur 27 tahun, dalam perjalanan dari Pekan Nenas, menghala ke Pontian semasa cuaca hujan.
Setibanya di lampu isyarat, sebuah lori hilang kawalan, lalu melanggar lori dipandu mangsa.
Impak itu mengakibatkan lori terbabit menggelongsor, melanggar sebuah lagi lori dan tiga kereta.
Mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan di kaki dan dada selepas tersepit akibat kenderaannya dihimpit dua buah lori manakala kelindan mangsa, cedera di kaki dan dirawat di Hospital Pontian.
Seorang pemandu lori berumur 54 tahun, ditahan polis kerana memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian, sebelum dijamin polis.
Semakan urin mendapati suspek negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
(FOTO RTM)