fb fb fb fb fb

Kes pecah rumah di Kubang Pasu, dua individu ditahan

KUBANG PASU, 19 Julai- Dua lelaki disyaki terlibat kes pecah rumah di daerah Kubang Pasu, Kedah berjaya dicekup pihak polis di dua lokasi berasingan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata pihaknya menerima aduan berkaitan kes pecah rumah yang berlaku di kawasan taman perumahan di sekitar Jitra.

Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu telah menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai bergiat aktif dalam kejadian itu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Manggol, Jitra.

Hasil soal siasat, seorang lagi suspek berusia 30-an yang berperanan sebagai pembeli atau orang tengah berjaya ditahan.

Pihaknya turut merampas beberapa barangan seperti tiga telefon bimbit, dua motorsikal, peti sejuk, mesin gergaji rantai dan borang pertukaran mata wang asing.

Semakan rekod lampau mendapati, suspek utama mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah dan penyalahgunaan dadah manakala suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah.


(FOTO RTM)

Modus operandi suspek adalah menyasarkan rumah yang ditinggalkan dalam keadaan gelap sebelum masuk melalui bumbung atau tingkap.

Suspek bergerak seorang diri akan mengambil barangan kemas dan wang tunai milik tuan rumah dan hasil kegiatan tersebut akan dijual kepada orang tengah atau pembeli.

Susulan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah di sekitar Jitra.

Suspek direman sehingga esok dan kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

 

Media Baharu