fb fb fb fb fb

RMK13 langkah menyeluruh, sasar capai status negara berpendapatan tinggi

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan kepada pembangunan insan disifatkan sebagai langkah menyeluruh dan tepat pada masanya.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Kuala Terengganu, Dr Syahrul Hezrin Mahmud, ia seiring dengan sasaran kerajaan untuk mencapai pendapatan negara kasar (PNK) per kapita RM77,200 untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

"RMK13 disambut baik kerana ia bukan hanya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur semata-mata, tetapi turut menumpukan kepada pembinaan generasi. Dalam konteks ekonomi, ini memberi impak langsung kepada pendapatan yang bakal diterima oleh individu," katanya ketika dihubungi RTM.

Penekanan terhadap Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 sebanyak RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu dilihat mampu merapatkan jurang pendapatan antara wilayah.

"Kalau sebelum ini, tanpa pelaksanaan dasar gaji yang sesuai, jurang pendapatan antara rakyat di Pantai Timur dan Pantai Barat agak ketara. RMK13 dilihat mampu merapatkan jurang ini," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Dr Syahrul turut menyambut baik pemberian insentif tunai RM100 kepada rakyat baru-baru ini.

Menurutnya ia mampu merangsang pertumbuhan sektor peruncitan secara langsung.

"Walaupun bagi sesetengah golongan, nilai RM100 itu mungkin kecil, namun kita perlu melihatnya sebagai satu bentuk pemangkin ekonomi. Ia memberi kesan langsung kepada sektor peruncitan.

"Bayangkan jika 1,000 orang membelanjakan RM100, ini sudah mewujudkan aliran tunai sebanyak RM100,000 dalam pasaran. Jadi walaupun kecil pada peringkat individu, kesan kumulatifnya besar dan sangat bermakna kepada ekonomi tempatan," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI