fb fb fb fb fb

LPP Kedah terima peruntukan RM8.8 juta, tingkatkan ekonomi peladang

SUNGAI PETANI, 19 Julai- Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Kedah menerima peruntukan berjumlah RM8.8 juta bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melalui Program Rolling Plan 3 (RP3), tahun ini.

Ia bagi melaksanakan pelbagai projek untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dan menaikkan ekonomi negara.

Pengarah LPP Kedah, Azizul Lebai Ishak berkata peruntukan tersebut disalurkan menerusi beberapa kaedah melalui projek-projek yang dipohon oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan ahli PPK.

Antaranya, Program Peningkatan Produktiviti Pertanian untuk Sayuran di PPK Baling dengan peruntukan sebanyak RM100,000 dan PPK Sik dengan Projek Sayuran Fertigasi bagi memenuhi permintaan dan kecukupan sumber makanan negara.

Selain itu, Program Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana Secara Geran Padanan sebanyak RM500,000 melibatkan 175 orang peserta daripada 17 PPK di Kedah.

Program berkenaan membantu ahli peladang mendapatkan peralatan jentera atau mesin-mesin kecil dengan bayaran sebanyak 30 peratus sahaja manakala 70 peratus ditanggung LPP.


(Pengarah LPP Kedah, Azizul Lebai Ishak ditemui pemberita selepas melawat Projek
Ternakan Udang Putih PPK Kawasan Kuala Muda di Bukit Berapit)

"Peserta-peserta atau ahli-ahli kita yang mana telah menjalankan aktiviti perniagaan, kita membantu untuk meningkatkan hasil pendapatannya selaras dengan konsep Malaysia Madani sekarang ini untuk menoktahkan kemiskinan tegar, menyahut seruan Perdana Menteri.

Jadi, itulah diantara sumbangan-sumbangan yang pihak LPP melalui KPKM membantu ahli-ahli ataupun rakyat Malaysia yang melalui peruntukan Rise-Up dan juga peruntukan mesin geran," kata Azizul kepada pemberita selepas melawat Projek Ternakan Udang Putih PPK Kawasan Kuala Muda di Bukit Berapit, di sini.

Peruntukan berjumlah RM781,000 bawah Program Rise-Up melibatkan 19 peserta dan Geran Agropreneur Muda (GAM) berjumlah RM300,000 untuk golongan muda yang berumur di antara 18 hingga 40 tahun terlibat dalam sektor pertanian.

Media Baharu