KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Malaysia terus mengukuhkan peranan sebagai hab latihan dan penyelidikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) serantau.
Menerusi ASEAN Safety and Health Workers Summit 2025 (ASEAN OSH Summit 2025) yang dianjurkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), ia dilihat menjamin masa depan pekerjaan lebih selamat dan saksama.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia selaras dengan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 yang menekankan kemakmuran bersama, kelestarian dan perpaduan serantau.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited menjadikan keterangkuman dan kelestarian sebagai tema utama pembangunan rantau ini," katanya.
Beliau membacakan teks ucapan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong ketika merasmikan ASEAN Safety and Health Workers Summit 2025 (ASEAN OSH Summit 2025) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Satu kerangka penyelidikan baharu dikenali sebagai Malaysian Research Initiative for National Agenda (MaRINA 3.0) dicadangkan untuk dijadikan rujukan utama rantau ini dalam bidang penyelidikan KKP ASEAN.
ASEAN OSH Summit 2025 menghimpunkan lebih 70 pakar dari negara ASEAN dan negara rakan strategik seperti Denmark, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Turkiye.
Lebih 2,000 pengamal KKP tempatan turut serta dalam pelbagai program dan forum sepanjang tiga hari penganjuran.
Dalam usaha menyokong inisiatif Kerajaan MADANI, NIOSH turut mengumumkan penubuhan pejabat tetap Asian Occupational Safety and Health Research Institute (AOSHRI) di ibu pejabatnya di Bandar Baru Bangi.
AOSHRI kini dianggotai 15 institusi penyelidikan OSH dari seluruh Asia termasuk Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Singapura, Indonesia dan negara ASEAN lain.
Pengerusi NIOSH, Chong Chieng Jen berkata penyertaan delegasi dari 10 negara ASEAN termasuk Timor-Leste mencerminkan solidariti serantau dalam menangani cabaran keselamatan pekerjaan masa kini.