KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa pihak berwajib di peringkat persekutuan supaya mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik dengan segera.
Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mencontohi enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang berani mengambil langkah proaktif pencegahan awal dengan menguatkuasakan larangan penjualan vape serta tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik itu.
"MCPF berpendapat, jika perkara ini dibiarkan dan tidak ditangani lebih awal, maka ia dibimbangi semakin melarat seperti isu penagihan dan penyalahgunaan dadah yang kekal menjadi musuh nombor satu negara sejak 1980-an," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Ayub, pihaknya menyokong penuh langkah KKM mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di negara ini.
"MCPF melihat langkah proaktif ini amat penting dalam usaha melindungi kesihatan awam, khususnya golongan belia dan orang belum dewasa (OBD) yang semakin terdedah kepada risiko penggunaan produk berbahaya tersebut," katanya.
Beliau berkata, laporan The Lancet Public Health pada 2024 merekodkan lebih sejuta individu di England kini menggunakan vape meskipun tidak pernah merokok sebelum ini.
Katanya, perkara itu mencetuskan kebimbangan pakar kesihatan sedunia kerana vape kini bukan sahaja digunakan perokok tegar untuk berhenti merokok tetapi telah menarik golongan yang belum pernah mengambil tembakau sebelum ini.
"Tabiat menghisap vape atau rokok elektronik secara berterusan boleh mengakibatkan pengguna rokok elektronik itu terdedah kepada penyakit kronik seperti batuk, kahak berlebihan, sesak nafas serta keradangan paru-paru.
"Lebih parah, pengguna boleh mengalami kerosakan paru-paru akut atau dikenali sebagai ‘E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury’ (EVALI) yang boleh membawa maut," katanya.
EVALI adalah satu penyakit berkaitan kerosakan pada dinding salur pernafasan dalam paru-paru akibat penggunaan rokok elektronik.
Dalam pada itu, MCPF mencadangkan KKM agar dapat memperketatkan kawal selia terhadap produk merokok melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
MCPF turut menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia memantau dan bertindak secara bersepadu dalam membanteras pembekalan dan perjualan rokok seludup.