KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Seramai 26 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dikenakan tindakan buang kerja tahun lalu selepas didapati terlibat dalam kes salah laku rasuah di pintu masuk negara termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jumlah itu meningkat berbanding hanya lapan pegawai yang dikenakan tindakan sama di bawah Peraturan 37 pada tahun 2023.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada tahun sama seramai 50 pegawai JIM berdepan siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam sindiket 'phantom travel' seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
"Yang dilaporkan ini adalah tindakan yang telah kita ambil tidak kira siapa sekali pun. Kita memang tidak bertoleransi terhadap perbuatan jijik (rasuah) seperti ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berhubung status siasatan dan tangkapan terhadap pegawai JIM yang terlibat dalam kegiatan kaunter `setting’ khususnya di KLIA yang dilaporkan sejak 2023.
Kesemua kes tersebut sedang ditangani Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan dua kes sudah dituduh di mahkamah.
Bakinya, ada yang disyorkan SPRM untuk turut dituduh di mahkamah; dikenakan siasatan dalaman serta siasatan kertas tadbir urus.