fb fb fb fb fb

Polis Pulau Pinang lupus pelbagai jenis dadah bernilai RM2 juta

Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin

KEPALA BATAS, 4 Ogos - Polis Pulau Pinang melupuskan barang rampasan kes dadah kira-kira RM2 juta yang dirampas sepanjang 14 tahun bermula tahun 2010.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pelupusan kesemua dadah seberat 120,901 gram itu dijalankan mengikut prosedur ketat dengan kerjasama syarikat pengurusan sisa, Kualiti Alam Sdn. Bhd.

"Kesemua dadah yang dilupuskan dianggarkan bernilai kira-kira RM2 juta, dan sekiranya terlepas ke pasaran, ia boleh menampung kegunaan 1,385,427 orang penagih.

"Barang kes ini merupakan rampasan melibatkan 5,265 kertas siasatan dari tahun 2010 hingga 2024 yang telah selesai diambil tindakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari lima daerah dalam kontinjen Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelupusan Barang Kes Narkotik di Stor Barang Berpusat Seberang Perai Utara.

Antara dadah yang terlibat termasuk heroin, kanabis, ketamin, syabu serta pelbagai jenis pil psikotropik.

JSJN Pulau Pinang berjaya menahan 14,146 individu atas pelbagai kesalahan bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi tempoh Januari hingga Julai 2025.

Ia melibatkan 4,498 kertas siasatan dibuka membabitkan pengedaran dan pemilikan dadah dengan 4,170 kes telah dituduh di mahkamah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI