KUCHING, 4 Ogos - Kerajaan perlu menyediakan peralatan keselamatan khusus untuk pasukan bomba sekiranya rancangan membina loji nuklear direalisasikan.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, ia termasuk peralatan mengesan nuklear yang perlu disediakan pihak industri.
"Saya lebih percaya bahawa apabila sesuatu teknologi dicipta, ia sepatutnya disediakan untuk kegunaan kita dan bukannya dijual kepada kita. Sepatutnya, pihak industri menyediakan teknologi ini sesuai dengan persekitaran kita.
"Contohnya, pasukan bomba perlu dilengkapi dengan peralatan pengesanan yang sesuai," katanya ketika mengulas berkenaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga bersih dan selamat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba JBPM Sarawak Tahun 2024 di Kuching.
Teknologi pembinaan loji nuklear sudah matang, lengkap dengan standard keselamatan antarabangsa dan amalan terbaik yang boleh dijadikan rujukan dari segi kawalan dalaman dan pencegahan kebakaran.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan JBPM kini mempunyai 17 Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dengan 429 anggota telah diberi latihan khusus berhubung risiko dan pengendalian bahan radioaktif.
Semua anggota bomba turut diberi pendedahan asas berkaitan bahaya radiasi, namun keperluan peralatan tambahan bergantung kepada lokasi pembinaan loji nanti.
Dalam perkembangan lain tahap Indeks Jisim Badan (BMI) antara kriteria penting dalam saringan penerima pingat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain peluang kenaikan pangkat serta penganugerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, anggota yang mempunyai BMI melebihi paras 30 akan berdepan kekangan dalam penilaian tersebut.
BMI yang sihat adalah pelaburan jangka panjang jabatan dalam mengekalkan kekuatan fizikal dan keberkesanan operasi, sejajar dengan cabaran tugas sebagai anggota penyelamat.
JBPM akan terus memperkukuh budaya kesihatan dan kecergasan dalam kalangan warganya sebagai sebahagian daripada standard kecemerlangan perkhidmatan.
"Jadi kita dalam usaha berterusan untuk memastikan isu berkaitan BMI dalam kalangan anggota bomba dapat dapat diturunkan. Pada saya ia merupkan pelaburan jangka masa panjang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba JBPM Negeri Sarawak Tahun 2024 di sini.
Seramai 32 pegawai dan anggota bomba negeri ini menerima anugerah, merangkumi seorang penerima Pingat Jasa Bomba, sembilan menerima Pingat Setia Bomba dan 22 lagi menerima Pingat Cemerlang Bomba.