fb fb fb fb fb

Umat Islam dilarang sambut perayaan agama lain babitkan kepercayaan, akidah

PUTRAJAYA, 7 Jun- Umat Islam dilarang menyambut sebarang sambutan perayaan agama lain yang membabitkan kepercayaan dan akidah, kata Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Muhammad Najhan Shahir Halim.

Beliau berkata larangan itu berdasarkan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW serta lima prinsip maqasid syariah yang antaranya adalah menjaga agama, menjaga nyawa serta menjaga akal.

“Mana-mana upacara sambutan perayaan agama lain yang melibatkan urusan kepercayaan dan akidah, maka tidak harus bagi umat Islam menyertainya dan terlibat dalam upacara berkenaan.

“Ia termasuk perkara yang boleh menggugat keimanan seseorang Muslim dan umat Islam juga dilarang menyerupai golongan bukan Islam pada sudut yang melanggari akidah dan syariat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini berhubung festival tahunan Bon Odori iaitu perayaan Buddha Jepun bagi menghormati semangat nenek moyang mereka yang dijangka diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), pada 16 Julai ini.

Muhammad Najhan bagaimanapun meminta umat Islam agar menghormati budaya serta kepercayaan agama lain dengan menjalani kehidupan yang aman damai dan Bon Odori adalah antara perayaan pelbagai agama yang hidup secara harmoni dan aman selama ia tidak mencampuri urusan umat Islam dan ajarannya.

Sementara itu di Pulau Pinang, Mufti negeri Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihatkan umat Islam agar tidak terlibat dengan Festival Bon Odori kerana dibimbangi ia boleh membawa kepada syirik.

Wan Salim berkata umat Islam dinasihatkan agar sentiasa memelihara kemurnian akidah Islamiyah masing-masing dengan mengelak daripada terlibat dalam festival seperti itu.

"Oleh kerana festival tersebut ada kaitan dengan memperingati semangat atau roh nenek moyang maka dibimbangi ia boleh membawa kepada syirik, umat Islam perlu sentiasa memelihara kemurnian akidah Islamiyah masing-masing.

"Cara memperingati roh nenek moyang dengan cara menari, memuja roh mereka dan sebagainya tidak digalakkan di dalam Islam malah dibimbangi akan terjatuh ke dalam dosa syirik kepada Allah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dilaporkan berkata kajian yang dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati festival itu memang ada unsur-unsur keagamaan dan oleh itu umat Islam dinasihatkan supaya tidak menyertainya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin dalam majlis berasingan berkata kerajaan negeri Pulau Pinang tidak bercadang untuk membatalkan penganjuran Festival Bon Odori yang dijadual pada 30 Julai ini kerana dalam konteks Pulau Pinang ia tidak mengandungi elemen pemujaan atau upacara keagamaan tertentu.

(Foto fail)

Berita berkaitan
Bon Odori: Selangor akan rujuk pihak berkuasa agama negeri - Amirudin

Katanya festival itu akan tetap diteruskan kerana ia telah diadakan sejak lebih 10 tahun lepas di Pulau Pinang dan ia juga sebagai meraikan hubungan antara negara Jepun dan Malaysia yang terjalin sejak sekian lama serta secara tidak langsung dapat membantu merangsang ekonomi dan pelancongan di negeri ini.

"Saya memang rasa terkejut (kenyataan Idris mengenai Bon Odori) kerana program ini melibatkan kebudayaan dan bukan melibatkan unsur keagamaan serta tiada apa-apa unsur pemujaan atau sembahyang diadakan ketika festival berlangsung. Kami juga tidak boleh menghalang sesiapa sahaja yang mahu datang ke festival ini,” katanya.

Menurutnya festival itu yang diadakan di Pulau Pinang sebelum COVID-19 melanda, mampu menarik lebih 10,000 pengunjung dengan pihaknya menjangka kehadiran semasa peralihan endemik melebihi 5,000 orang.

Media Baharu