fb fb fb fb fb

Projek pembahagian sistem elektrik di Kota Kinabalu siap sepenuhnya

Fasa terakhir projek melibatkan Stesen Suis Utama (SSU) Penampang mula beroperasi semalam.

KOTA KINABALU, 17 Mei - Projek pembahagian bagi memperkukuh sistem 33 kilovolt (kV) dan 11 kV elektrik di sini sudah berjaya disiapkan sepenuhnya.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, ia selepas fasa terakhir projek melibatkan Stesen Suis Utama (SSU) Penampang mula beroperasi, petang semalam.

"Projek ini merupakan projek kedua di bawah Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) yang siap untuk tahun 2025. Keseluruhan kos projek adalah berjumlah RM22.4 juta," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut memaklumkan, projek itu bertujuan menyeimbangkan beban di stesen elektrik utama di Kota Kinabalu iaitu Pencawang Masuk Utama (PMU) Penampang, PMU Kepayan dan Pencawang Pembahagi Utama (PPU) KKIA.

Ketiga-tiga pencawang itu menanggung beban tinggi sebelum ini.

Setelah projek itu siap tempoh gangguan juga akan dikurangkan serta proses membaik pulih bekalan elektrik sekitar bandar Kota Kinabalu menjadi lebih cepat dan teratur.

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR