fb fb fb fb fb

IPIS Melaka perlu segera berdaftar dengan JAIM

JASIN, 7 Jun - Semua Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) di Melaka diseru segera berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi memastikan penyelarasan berkaitan pengoperasian, silibus serta kebajikan pelajar dan guru terpelihara.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata setakat ini JAIM mengenal pasti 115 IPIS beroperasi di negeri itu yang terdiri daripada 82 sekolah tahfiz swasta, sekolah pondok Islam swasta (17), sekolah rendah Islam swasta (11) dan sekolah menengah Islam swasta (lima).

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan IPIS itu, hanya 28 sekolah berdaftar penuh, berdaftar sementara (73), dalam proses daftar (satu) dan belum daftar (13).

"Walaupun jumlah IPIS yang belum berdaftar agak kecil tetapi kami akan membantu pihak pengurusan pusat berkenaan untuk berdaftar kerana kami bukan mahu mencari kesalahan mereka sebaliknya akan membantu memudahkan proses pendaftaran.

"Proses pendaftaran juga memerlukan banyak prosedur yang perlu dipatuhi seperti bangunan yang dijadikan pusat tahfiz mendapat CF (sijil layak menduduki) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain beberapa prosedur yang perlu diikuti di bawah pihak berkuasa tempatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Chenderah yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat.

(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali)

Sulaiman berkata IPIS yang telah berdaftar di bawah JAIM akan mendapat pelbagai manfaat termasuk bantuan tahunan daripada kerajaan negeri dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata selain itu pendaftaran berkenaan penting bagi memastikan sekiranya berlaku sesuatu perkara tidak diingini di sekolah atau pusat tahfiz terlibat, tindakan segera dapat dilakukan kerana pengoperasian institut itu dalam pengetahuan kerajaan negeri.

Terdahulu katanya pembinaan Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Chenderah dilaksanakan menggunakan peruntukan sebanyak RM12.14 juta yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) iaitu pembinaannya perlu disiapkan dalam tempoh 30 bulan sebelum Jun 2024.

"Projek ini akan dibina di atas tapak seluas 5.1 hektar dan dilengkapi dengan kemudahan prasarana seperti bangunan akademik seperti pejabat pentadbiran dan bilik darjah, dataran serta bangunan sokongan yang mampu menampung 450 pelajar.

"Permohonan ini telah dibuat sejak 2007 berikutan kemudahan pelajar dan guru yang terhad pada ketika itu memandangkan bangunan sekolah ini pada asalnya adalah bangunan Kompleks Tahfiz Al-Quran JAIM di Chenderah," katanya lagi. - BERNAMA

Media Baharu