fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin berkenan lawat anggota FRU dirawat di HTI

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat melawat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dirawat di Hospital Teluk Intan hari ini/BERNAMA

TELUK INTAN, 17 Mei- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menziarahi dan menyantuni anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas kemalangan maut di Teluk Intan, Selasa lepas.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 11.00 pagi di Hospital Teluk Intan (HTI) itu disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengarah Kesihatan Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha.

Turut mengiringi ketibaan Sultan Nazrin, Pengarah Hospital Teluk Intan, Dr. Khairul Baharin Mohd Baharuddin, Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Zulkafli Sariaat dan Ahli Dewan Negara Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Baginda berkenan melawat empat anggota yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu Koperal Haslizal Mohd Ali, Sarjan Mazlan Mat, Koperal Mohd Izwan Ishak dan Sarjan Mohd Parih Ali serta seorang lagi anggota, Muhammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli yang dirawat di wad biasa.

Sultan Nazrin juga berkenan menyantuni ahli keluarga anggota yang berada di hospital serta menyerahkan sumbangan peribadi kepada kesemua mangsa yang cedera dalam nahas berkenaan.

Selasa lalu, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil, kira-kira pukul 8.50 pagi, di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan.

Lapan anggota maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di HTI manakala sembilan lagi cedera.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM