GEORGE TOWN, 17 Mei - Lima penjara usang di seluruh negara akan dinaik taraf secara berperingkat menerusi pendekatan inisiatif seperti pertukaran tanah atau land swap.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil selepas pihak kementerian mendapati struktur beberapa penjara lama seperti tandas dan kemudahan asas berada dalam keadaan uzur dan tidak lagi sesuai digunakan.
Menurutnya, antara penjara terlibat ialah Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Pengkalan Chepa di Kelantan.
Mengulas kaedah pelaksanaan, beliau menjelaskan kerajaan tidak mempunyai keupayaan kewangan sepenuhnya untuk melaksanakan projek tersebut dalam masa terdekat.
“Kalau ditanya, adakah ada keperluan mendesak untuk ganti penjara usang? Jawapannya ya. Tapi kalau ditanya, adakah kita ada duit? Jawapannya tidak. Kalau Kementerian Ekonomi beri keutamaan, kita jalan. Kalau tidak, kena cari inisiatif lain. Sebab itu kita guna model land swapping dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Penjara ke-235 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Padang Kota Lama.
Majlis perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.
Malaysia ketika ini mempunyai 43 penjara di seluruh negara.