fb fb fb fb fb

Malaysia kukuhkan komitmen perdagangan terbuka di mesyuarat MRT APEC

Mesyuarat Menteri-Menteri Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan (MRT) APEC ke-31 di Jeju, Korea Selatan.

JEJU, 17 Mei - Malaysia sekali lagi menegaskan komitmen terhadap perdagangan terbuka, inklusif dan berdaya tahan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan (MRT) APEC ke-31 di Jeju, Korea Selatan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, dialog seperti ini penting menjelang Sidang Kemuncak Pemimpin APEC Oktober nanti.

Menurut beliau, Malaysia menekankan kepentingan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, termasuk pemulihan segera mekanisme penyelesaian pertikaian WTO.

Malaysia turut menggesa kemajuan dalam rundingan seperti perdagangan digital dan subsidi perikanan, serta mencadangkan integrasi lebih rapat antara inisiatif digital APEC dan ASEAN.

Tengku Zafrul turut mempengerusikan Kaukus Menteri APEC-ASEAN, yang julung kali diadakan bagi memperkukuh penyelarasan ekonomi serantau.

Dalam pertemuan dua hala, beliau turut mengemukakan cadangan kepada Wakil Perdagangan Amerika Syarikat berhubung isu tarif dan menjangkakan rundingan seterusnya berlangsung Jun ini di Washington.

Sementara itu, rundingan perdagangan bebas dengan Korea Selatan dijangka dimuktamadkan Oktober ini di Kuala Lumpur.-BERNAMA

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN