KEPALA BATAS, 17 Mei - Elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Pulau Pinang dinaikkan RM200 kepada RM1,500 sebulan bermula Julai ini.
Guru besar KAFA pula bakal menerima elaun baharu sebanyak RM1,600 sebulan berbanding RM1,350 sebelum ini.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, kenaikan itu antara langkah memperkasa pendidikan KAFA di negeri ini.
Selain itu, guru KAFA wanita yang dilantik pada atau selepas 1 Januari lalu dan diluluskan cuti bersalin, layak menerima sumbangan RM1,100 sebulan selama dua bulan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain di Dewan Millenium, di Kepala Batas.
Katanya lagi, sebanyak RM150,000 turut diperuntukkan bagi meningkatkan kecekapan guru KAFA melalui program latihan.
Keseluruhan inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan tambahan RM4.2 juta setahun, menjadikan jumlah peruntukan KAFA negeri kepada RM8.5 juta setahun.
MAINPP juga memutuskan pengoperasian semua premis KAFA kembali kepada lima hari seminggu bermula 1 Julai ini, selepas terhenti sejak pandemik.