fb fb fb fb fb

UM sasar Malaysia peroleh emas pada IChO akan datang

Pasukan Malaysia di International Chemistry Olympiad (IChO) ke-56 di Riyadh, Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 23 September - Pasukan Malaysia sekali lagi membawa pulang pingat gangsa daripada penyertaan di International Chemistry Olympiad (IChO) ke-56 berlangsung di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.

Sejak penyertaan pasukan Malaysia dari tahun 2006 hingga kini, sebanyak 23 pingat gangsa dan tujuh pingat perak telah diperoleh dan usaha memburu pingat emas masih diteruskan.

Universiti Malaya (UM) dalam satu kenyataan berkata, pertandingan itu diadakan dengan penyertaan daripada 87 negara yang terdiri daripada 333 orang peserta.

Antara negara terlibat ialah Thailand, Indonesia, Singapura, dan Filipina, serta negara-negara OIC seperti Kuwait, Arab Saudi, dan Turkiye.

"Pasukan Malaysia diwakili oleh Adib Fahmy bin Awang (Permata Insan), Muhammad Akeef Asmunir (Permata Insan), Nurul Aina Natasya (SMK Yong Peng), dan Ng Ze Xian (Sunway College) bersama Profesor Madya Dr. Ninie Suhana (ketua Mentor) dan Dr. Noordini Mohamad Salleh (Mentor). Pingat gangsa berjaya diperolehi menerusi Ng Ze Xian," kata kenyataan itu.

Katanya, usaha tersebut dijalankan melalui Bahagian Sukan, Kesenian dan Kurikulum (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah melantik Malaysia International Chemistry Olympiad (MIChO) dari Jabatan Kimia Univerisiti Malaya.

Ia diketuai oleh Profesor Noorsaadah Abd Rahman bagi mengendali latihan intensif dan menyelaras pemilihan wakil pelajar ke pertandingan terdiri daripada dua bahagian, iaitu peperiksaan teori dan peperiksaan amali.

Olimpiad Kimia Antarabangsa (IChO) adalah pertandingan akademik tahunan untuk pelajar sekolah menengah bagi meningkatkan hubungan antara golongan muda dari pelbagai negara.

"Pada tahun ini, barisan pensyarah dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Malaya iaitu Profesor Dr. Sharifuddin, Profesor Madya Dr. Ninie Suhana, Profesor Madya Dr. Tan Kong Wai, Profesor Madya Dr. Noraini, Profesor Madya Dr. Desmond, Dr. Noordini, Dr. Rusnah, Dr. Siti Munirah, Dr. Iskandar, Dr. Noor Idayu dan Dr. Lee Yean Kee telah sama-sama menyumbang usaha dalam memastikan latihan intensif yang diberikan membuahkan hasil dan komited dalam menggapai aspirasi mendapatkan pingat emas pertama dalam pertandingan IChO 2025," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF