fb fb fb fb fb

Pesara kerajaan rugi lebih RM400,000, terpedaya skim pelaburan

Foto hiasan

KUANTAN, 23 September- Seorang kontraktor pembinaan yang juga merupakan pesara kerajaan kerugian lebih RM400,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Mangsa berusia 65 tahun telah melakukan pemindahan wang kepada enam akaun yang diberi namun suspek gagal dihubungi selepas itu.

Ketua Polis Pahang Dato' Sri Yahaya Othman dalam satu kenyataan berkata, pada awal September, mangsa berminat untuk menyertai satu Skim Pelaburan Saham yang diterima melalui aplikasi Whatsapp.

"Mangsa dijanjikan akan mendapat pulangan 20 peratus bagi setiap modal yang dilaburkan melalui laman web yang diberikan suspek.

"Dalam tempoh 16 hari sehingga 20 September, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM463,792 menggunakan wang simpanan sendiri," katanya.

Mangsa menyedari dirinya ditipu setelah gagal menghubungi suspek dan tidak dapat mengeluarkan sebarang keuntungan.

Bagaimanapun polis pahang menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

Pada masa sama orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI