KUALA LUMPUR, 23 September- Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan fasa peralihan monsun yang dijangka berlaku, bermula esok.
Pengarah Pusat Iklim Nasional MetMalaysia Khazainani Salleh berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan khabar angin selain mengelakkan sebarang aktiviti pada waktu petang.
"Mungkin akan ada ribut petir pada sebelah petang, jadi elakkan sebarang aktiviti pada waktu petang.MetMalaysia cuba mengeluarkan amaran yang tepat dan sahih.
"...sebab mungkin akan ada beberapa kawasan yang tidak menerima hujan lebat. Jadi kita kena tahu keadaan tempat sendiri. Jangan mudah percaya dengan khabar angin yang tidak dapat ditentusahkan. Sentiasa dapatkan informasi terkini dan sahih menerusi MetMalaysia," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkaspuri Kota Media di ibu negara.
Terdahulu Met Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan, fasa peralihan monsun dijangka berlaku yang akan menyebabkan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang.
Ia dijangka menjejaskan kawasan barat dan pedelaman semenanjung, barat Sabah, serta barat dan tengah Sarawak dan orang ramai diminta untuk sentiasa peka dengan maklumat dari MetMalaysia.
Sementara itu berkenaan Forum Iklim Kebangsaan 2024, ia bakal menjadi wadah perkongsian barisan hadapan menangani Monsun Timur Laut yang dijangka pada 24 September hingga awal November depan.
Khazainani berkata, forum berkenaan akan membicarakan isu perubahan cuaca utama yang melanda negara ini sempena Hari Meteorologi Sedunia 2024 pada 3 Oktober dan akan diadakan di Putrajaya.
"Terdapat tiga orang panel untuk membincangkan dan berkongsi dengan kita iaitu Met Malaysia, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan juga Jabatan Mineral dan GEOSains (JMG).
"...dan bukan itu sahaja kita juga turut menjemput empat lagi agensi barisan pengurusan bencana untuk sama-sama berkongsi," katanya lagi.