fb fb fb fb fb

SPRM anjur Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah 2024

Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Datuk Idris Zaharudin

KUALA LUMPUR, 23 September- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), sekali lagi pada tahun ini menganjurkan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-3 Tahun 2024 selama dua hari pada 26 dan 27 September 2024 bertemakan “Mendepani Ancaman Rasuah : Pembanterasan Secara Kolektif” bertempat di Hotel Tenera Bangi, Selangor.

Sebanyak tujuh tajuk penyelidikan akan dibentangkan pada tahun ini oleh lima institusi penyelidikan dalam negara terdiri daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Datuk Idris Zaharudin berkata, persidangan kali ini adalah platform terbaik bagi perancang dasar dan pemain-pemain industri dalam menilai, merancang serta mengambil tindakan bersesuaian dalam membina negara yang mantap tatakelolanya, bebas rasuah dan makmur.

Beliau berkata, persidangan itu turut menjadi platform dalam berkongsi dapatan penyelidikan dalam konteks governans, integriti dan antirasuah serta membincangkan isu-isu semasa berkaitan risiko rasuah, pelanggaran integriti dan kelemahan tatakelola yang boleh ditambah baik.

“Persidangan ini bukan sekadar persidangan biasa, tetapi ia merupakan suatu platform penyampaian secara terbuka kepada semua pemegang taruh yang berkaitan dengan tajuk-tajuk dibentangkan untuk mereka mengambil cakna sekiranya terdapat syor penambahbaikan yang berguna untuk diterapkan di agensi masing-masing.

“Malahan sehingga kini, tiada persidangan seumpama ini dilaksanakan oleh mana-mana agensi untuk menunjukkan secara telus bahawa penyelidikan yang dilaksanakan secara kerjasama antara SPRM dan institusi penyelidikan memberikan keyakinan yang tinggi kerana kajian yang dilaksanakan bukan sekadar persepsi semata-mata tetapi merupakan kajian lapangan bersama responden serta menggunakan metodologi tertentu hingga kajian ini ditafsirkan sebagai kajian yang valid (sah) dan reliable (dipercayai),” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan dapatan dan syor hasil penyelidikan yang telah dibentangkan dalam dua siri persidangan sebelum ini, terdapat 18 syor telah diangkat ke platform Jawatankuasa Khas Kabinet TataKelola Nasional (JKKTN).

Malah terdapat tujuh syor daripada 18 kertas penyelidikan yang telah dibentangkan sejak tahun 2022-2023 telah diangkat menjadi substrategi di dalam dokumen Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028. (Rujuk Gambarajah 1).

Oleh yang demikian, hasrat dan objektif asal pemberian geran kepada institusi-institusi penyelidikan berkenaan telah mencapai matlamat dalam menambah baik dan mencadangkan pembaharuan dalam pembangunan dasar negara sama ada dalam aspek perundangan, penyampaian perkhidmatan dan yang berkaitan dengannya.

Justeru, pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam mempertingkat kawalan dalaman organisasi dengan mengurangkan risiko rasuah dalam penyampaian perkhidmatan dan memastikan matlamat penyampaian perkhidmatan tersebut tercapai, serta memberi manfaat bukan saja kepada penerima sasaran tetapi juga seluruh masyarakat umum tanpa terpalit dengan isu ketirisan dan penyelewengan.

Hasil dapatan penyelidikan yang dicadangkan dalam kertas penyelidikan seterusnya akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi untuk dipertimbangkan dalam pembuatan dasar negara, melibatkan aspek governans, integriti dan antirasuah contohnya melalui platform Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) dan Jawatankuasa Tatakelola Nasional (JTK) Peringkat Kebangsaan.

Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah kali pertama diadakan di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA Sepang pada 23-24 Mac 2022 dan kali-2 pula pada 6-7 September 2023 tahun lalu dilokasi yang sama.

Persidangan penyelidikan tahunan itu telah menjadi agenda tahunan yang dilaksanakan oleh SPRM di mana impaknya telah mendapat kepercayaan dan keyakinan tinggi daripada pihak Kementerian Kewangan dalam meluluskan peruntukan kewangan dan pemberian geran kepada para penyelidik.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE