fb fb fb fb fb

168 saman dikeluarkan, 136 individu ditahan termasuk pelajar sekolah

Datuk Azizi Mat Aris

IPOH, 23 September- Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontijen Perak mengeluarkan 168 notis saman melibatkan pelbagai kesalahan terhadap pemilik motosikal dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan berhampiran Jalan Klebang Ria, Ipoh petang semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, sebanyak 101 buah motosikal diperiksa dan 20 buah motosikal lagi disita.

"Pemeriksaan telah dilakukan ke atas 136 orang, iaitu 130 lelaki dan enam orang lagi perempuan. Hasil pemeriksaan juga mendapati individu yang diperiksa melibatkan bawah umur iaitu pelajar sekolah.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah pun menangkap suspek-suspek yang melakukan lumba haram bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan," katanya kepada pemberita di sini.

Antara kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen memandu, lesen tamat tempoh, tidak mempunyai cermin sisi, mengubah suai kenderaan serta kesalahan-kesalahan lain.

Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 12 hingga 45 tahun dipercayai terlibat dengan aktiviti lumba haram dan 69 orang merupakan pelajar sekolah.

Sementara itu hasil saringan air kencing oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendapati dua lelaki tempatan positif dadah jenis methamphetamine.

Manakala 11 notis kompaun dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kepada pemilik motosikal atas kesalahan gagal mematuhi had pelepasan maksimum bunyi bising dibenarkan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI