KUALA LUMPUR, 4 Februari -Kepakaran Universiti Malaya (UM) dalam bidang halal diiktiraf apabila kerajaan memberi mandat kepada universiti itu melaksanakan Projek pembangunan Dasar Halal Negara 2025-2035.
Projek yang diamanahkan kepada universiti tertua itu melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bukan sahaja penting untuk memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju industri halal global, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui pengukuhan ekosistem halal secara mampan.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC), Prof. Madya Dr. Zalina, pasukannya akan berusaha memastikan amanah itu dilaksanakan sebaiknya, meskipun menyedari bahawa tanggungjawab dipikul bukanlah sesuatu yang mudah, bahkan merupakan amanah besar yang perlu dilaksanakan secara bersama.
"Kami menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan data terperinci, termasuk sesi townhall, tinjauan awam, dan lawatan ke luar negara untuk mengumpul pandangan penting dari pelbagai pihak antarabangsa.
“Pada pertengahan Disember 2024, saya telah membentangkan laporan kajian Dasar Halal Negara 2035 (DHN2035) serta menyerahkannya kepada Ketua Pengarah JAKIM, Dato' Dr. Sirajuddin Suhaimee. Pembentangan tersebut diadakan dalam satu sesi khas melibatkan pengurusan tertinggi JAKIM bersama wakil daripada Kementerian Ekonomi”, jelasnya kepada RTM.
Laporan pembentangan itu merangkumi dapatan kajian yang diperoleh melalui kajian literatur semasa bagi komponen-komponen terlibat, enam sesi dialog awam (townhall) yang diadakan di seluruh Malaysia, merangkumi zon tengah (Putrajaya), zon selatan (Melaka), zon Sabah (Sabah), zon Sarawak (Sarawak), zon utara (Pulau Pinang), dan zon timur (Pahang).
Selain itu, kajian lapangan turut dijalankan di luar negara melibatkan tujuh benua utama dunia, termasuk Amerika Utara (AS), Amerika Selatan (Argentina), ASEAN (Thailand), Eropah (Amsterdam, Switzerland, dan Itali), Asia Tengah (China), Asia Barat (Turkiye), dan Oceania (New Zealand), serta tinjauan awam.
Timbalan Pengarah UMHRC, Dr. Norhidayah Pauzi pula yakin projek itu boleh direalisasikan kerana turut melibatkan pelbagai kepakaran dalam bidang akademik dan industri selain bimbingan JAKIM.
Beliau mengalu-alukan mana-mana pihak untuk memberikan cadangan atau komentar penambahbaikan Halal Malaysia untuk 10 tahun akan datang berdasarkan kompenan-kompenan Dasar Halal Negara 2035-2035.
Cadangan boleh dikemukakan melalui laman sesawang rasmi Dasar Halal Negara https://www.dhn2035.my/ms.
Dasar Halal Negara 2025-2035 merupakan strategi jangka panjang negara bagi mewujudkan ekosistem halal secara lebih holistik dan kondusif.
Terdapat lima objektif Dasar Halal Negara 2025 -2035, antaranya iaitu mewujudkan ekosistem halal yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan Halal Malaysia yang inklusif, seimbang dan mampan dan melahirkan modal insan kompeten dan berintegriti.
Untuk rekod, sejak tahun 1974, Malaysia telah memulakan pensijilan halal, seterusnya berkembang secara sistematik dan teratur; bukan sahaja mematuhi segala keperluan syariah, malah memenuhi piawaian tersendiri.
Sistem pensijilan ini tidak hanya menumpukan kepada pematuhan terhadap standard halal, tetapi turut merangkumi aspek pengurusan produk, perkhidmatan, dan import secara menyeluruh, dari peringkat pengeluaran hingga ke peringkat pemasaran dan pengedaran.