fb fb fb fb fb

Kos pelaksanaan PLKN 3.0 lebih rendah berbanding sebelum ini

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 4 Februari- Kos pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 lebih rendah berbanding siri PLKN sebelum ini dengan anggaran kos bagi seorang pelatih sebanyak RM2,000.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kos tahunan pelaksanaan PLKN 1.0 melibatkan RM565 juta dengan 71,300 peserta, manakala PLKN 2.0 berjumlah RM361 juta melibatkan 20,000 peserta.

"Bagi PLKN 3.0 kos tahunannya RM200 juta, tetapi melibatkan peserta melebihi 100,000 orang kerana ia bukan sahaja dibuat di Kem Wataniah melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi ia juga dilaksanakan di universiti dan politeknik.

"... dan ia melibatkan lebih 100,000 peserta. Maka kos setiap pelatih jika PLKN 1.0 RM7,900 seorang, PLKN 2.0 adalah RM18,000 seorang, manakala PLKN 3.0 hanya RM2,000 seorang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Penyataan tersebut bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman yang mendakwa kos untuk melatih peserta PLKN 3.0, tinggi.

Tambah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, penilaian akan dilaksana melibatkan pelbagai pihak bagi meneliti keberkesanan PLKN 3.0.

ROSLINA BINTI DIN