KUALA NERUS, 11 Januari - Seorang sukarelawan Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan telah menemui dua ekor'ulat bulu laut' yang dipercayai daripada species 'Amphinome rostrata' (Pallas 1766) semasa berjalan di tepi pantai berhampiran Universiti Malaysia Terengganu UMT pada Rabu.
ketua Unit Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan Profesor Madya Dr Izwandy Idris berkata "Ulat bulu laut" adalah nama panggilan tempatan bagi kumpulan cacing laut yang mempunyai struktur seperti kuku 'cheatae' di sepanjang badan yang menyerupai ulat bulu.
Namun, dalam bahasa Inggeris ia dipanggil 'fireworm' (cacing api) kerana rasa sakit seperti terkena api apabila menyentuh atau memegangnya.
Ini kerana 'chaetae' di badan ulat bulu laut ini adalah tajam serta rapuh dan mudah melekat di kulit apabila disentuh.
Tambahan pula, spesies dari kumpulan ulat bulu laut ini mempunyai kelenjar bisa yang mana ia boleh memasuki badan melalui luka tusukan 'chaetae' yang patah.
Gabungan luka akibat 'chaetae' yang patah dan bisa dari kelenjar bisa boleh menimbulkan rasa sakit yang kuat, bengkak di tempat yang terkena serta tindakbalas alahan.
Monsun timur laut yang menyebabkan organisma serta benda benda hanyut terdampar di pantai akibat daripada arus dan ombak yang kuat.
Amphinome rostrata adalah spesis yang banyak berasosiasi dengan 'teritip angsa' yang melekat pada benda hanyut seperti kayu serta sampah laut dan dijumpai di lautan seluruh dunia.
Sehubungan itu, Izwandy menasihatkan pengunjung pantai agar berhati-hati sekiranya terjumpa Amphinome rostrata atau organisma marin yang mempunyai rupa seakan-akan ulat bulu.