fb fb fb fb fb

Laluan RTS siap 65 peratus: PM Anwar-Hsien Loong lakar sejarah baharu

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat tapak pembinaan projek Rapid Transit System Link (RTS Link)/FOTO PMO

JOHOR BAHRU, 11 Januari - Pembinaan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura kini sudah mencapai tahap kemajuan 65 peratus seperti dijadualkan setakat 31 Disember lalu.

Projek RTS  merupakan keutamaan bagi Malaysia dan Singapura dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan; apatah lagi projek itu merupakan laluan alternatif sesama rakyat kedua-dua negara.

Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong bagi menyaksikan simbolik penyambungan projek RTS bernilai berbilion ringgit.

Penyempurnaan itu menjadi titik pertemuan jejambat marin yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Kedua-dua pemimpin tertinggi itu tiba kira-kira pukul 9 pagi tadi sekali gus melakar sejarah baharu kedua-dua negara kerana ia merupakan pertemuan pertama di tapak projek berkenaan, juga sebagai simbolik penyambungan laluan projek tersebut. 

Mereka kemudiannya menandatangani plak secara simbolik sebagai tanda komitmen kedua-dua negara terhadap pembinaan projek tersebut.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Projek RTS Johor Bahru-Singapura dijadualkan beroperasi pada 2027, dijangka mampu menarik 35 peratus daripada 350,000 orang yang bergerak melalui Tambak Johor setiap hari.

Rangkaian itu akan mempunyai kapasiti penumpang sebanyak 10,000 orang sejam bagi lima minit perjalanan, sekali gus membantu meringankan kesesakan trafik di lebuh raya.

RTS Link akan menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan stesen Woodlands North di Singapura, merangkumi jarak laluan 2.7 kilometer (km) di Malaysia dan 1.3 km di Singapura.

GRACE AISYAH KEDAYAN