PUTRAJAYA, 20 Julai - Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mahu Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dikekalkan.
Beliau berkata pihaknya akan sentiasa berada di belakang Perdana Menteri dan sedia membantu dalam apa jua rintangan dihadapinya semasa mentadbir Malaysia.
“Sokongan kita (ulama) penuh kepada pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Insya-Allah, kita berada di belakangnya (Anwar).
“Semua rintangan dan cabaran yang berlaku di negara ini dapat diselamatkan. Malaysia diselamatkan, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri dapat diselamatkan,” katanya ketika berucap pada program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra di sini malam tadi, yang turut dihadiri Perdana Menteri serta ribuan jemaah.
Program anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu diadakan bertujuan menyemarakkan budaya munajat dan penghayatan ilmu sebagai asas penyatuan ummah serta pembinaan masyarakat berteraskan nilai Malaysia MADANI.
Sementara itu, Syeikh Wazir berkata perubahan pentadbiran kerajaan dalam tempoh waktu singkat bukanlah satu cara yang digalakkan dalam Islam, justeru mencadangkan supaya pentadbiran yang baik perlu dikekalkan hingga tempoh 10 tahun supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
“Kita di Malaysia ini, lima tahun satu kerajaan, dua tahun satu kerajaan dan setahun pula satu kerajaan (menyebabkan) dasar berubah, (pengajian) pondok malap, segala malap, ekonomi malap dan ini bukan cara Islam,” katanya.
Semalam, Anwar menyeru umat Islam agar terus mempertahankan legasi keilmuan Islam serta memperkukuh hubungan antara ulama dan umara dalam mendepani cabaran era moden, termasuk perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi.
Beliau mengingatkan bahawa kejayaan teknologi mesti didasari dengan nilai, akhlak dan kefahaman agama yang mendalam kerana aspek itu menjadi tunjang kekuatan umat Islam sejak sekian lama.- BERNAMA