KUALA LUMPUR, 20 Julai – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang memperluas penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar kepada semua bas milik institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah berasrama penuh (SBP), termasuk bas yang disewa khas untuk membawa pelajar pulang ke kampung.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara serta pematuhan peraturan kenderaan institusi dikawal selia dengan lebih ketat.
Menurut beliau, pasukan teknikal dan penguat kuasa JPJ negeri akan digerakkan mulai Ogos ini untuk menjalinkan kerjasama terus dengan pihak institusi.
“Ogos ini kita akan gerakkan pasukan JPJ negeri untuk berhubung dan membuat kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi, institusi pendidikan yang mempunyai bas sendiri, ataupun bas-bas yang disewa khas untuk membawa anak-anak ini pulang ke kampung. Jadi boleh dikatakan semua IPT dan sekolah berasrama penuh mempunyai bas sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) yang berlangsung di sebuah hotel, hari ini.
Pemeriksaan akan dilakukan secara berperingkat memandangkan keupayaan tenaga kerja JPJ yang terhad ketika ini.
Dalam pada itu, JPJ turut merancang untuk merangka mekanisme penggantungan atau pembatalan lesen bagi peserta Program MyLesen B2 sekiranya mereka didapati terlibat dalam aktiviti haram seperti lumba haram atau samseng jalanan.
“Langkah ini penting untuk mendidik pemegang lesen baharu agar menjadi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab,” tegas beliau.