UKM, Yayasan Aman rancang platform penyelidikan bawa nama Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima cenderamata selepas majlis pemeteraian LOI antara UKM dengan Yayasan Aman di Bangi/Foto UKM

BANGI, 6 November – Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Yayasan Aman merancang menubuhkan platform penyelidikan yang membawa nama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuan mendokumentasikan sumbangan dan legasi kepimpinan wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara, khususnya alam Melayu.
  • Fokus pada penyelidikan akademik, penerbitan ilmiah dan pelaksanaan program kemasyarakatan oleh ATMA dan UKM.
  • Bahan dokumentasi dirancang dimasukkan ke pangkalan data LLM Bahasa Melayu UKM untuk capaian maklumat melalui aplikasi AI.
  • Kerjasama melibatkan pembiayaan Yayasan Aman, kepakaran ATMA, serta sokongan bagi penyelidikan, penerbitan, latihan dan program khidmat masyarakat.

Inisiatif itu bertujuan mendokumentasikan sumbangan dan legasi kepimpinan wanita dalam pembangunan masyarakat serta negara, khususnya di alam Melayu.

Naib Canselor UKM, Profesor Sufian Jusoh berkata, inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada penyelidikan akademik, penerbitan ilmiah dan pelaksanaan program kemasyarakatan.

Menurut beliau, bahan dokumentasi yang dihasilkan turut dirancang untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data model bahasa besar (LLM) Bahasa Melayu UKM bagi membolehkan capaian maklumat melalui aplikasi kecerdasan buatan (AI).

Kerjasama itu turut melibatkan pembiayaan dan sokongan dokumentasi oleh Yayasan Aman, manakala ATMA menyediakan kepakaran penyelidikan.

Menerusi hantaran Facebook UKM pada Khamis, kerjasama berkenaan bertujuan menjadi wahana ilmiah berstruktur bagi mengkaji, mendedahkan dan menyebarluaskan sumbangan wanita Alam Melayu dalam pelbagai aspek pembangunan negara dan peradaban.

“Antara inisiatif yang dirancang termasuk membiayai usaha penyelidikan berdampak tinggi oleh ahli akademik dan penyelidik ATMA serta UKM, menyokong penghasilan penerbitan ilmiah dan wacana yang mudah diakses masyarakat awam, selain menyediakan latihan serta program khidmat masyarakat,” menurut hantaran itu.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyaksikan majlis pemeteraian LOI antara UKM dengan Yayasan Aman di Bangi pada Khamis/Foto UKM

Kerjasama berkenaan dimeterai menerusi Surat Hasrat (LOI) antara UKM dengan Yayasan Aman pada satu majlis di Bangi, semalam.

LOI itu ditandatangani Profesor Sufian bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Aman, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, dengan disaksikan Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan berkenaan.

Sementara itu, Felo Penyelidik ATMA, Mohd Faizal Musa berkata, pemilihan Dr Wan Azizah sebagai tokoh yang mendasari inisiatif itu mengambil kira sumbangan beliau dalam memperkasa kebajikan wanita, kanak-kanak dan pembangunan sosial negara.

Antara sumbangan yang diketengahkan ialah pengenalan program i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2018 yang memberi manfaat kepada lebih 111,000 wanita dalam tempoh kurang setahun pelaksanaannya.

Dr Wan Azizah turut memainkan peranan dalam usaha menangani isu perkahwinan bawah umur, memperkukuh perlindungan terhadap mangsa keganasan rumah tangga serta menggerakkan penyediaan draf awal Akta Antigangguan Seksual.

Kerjasama itu dijangka memperluas ruang penyelidikan dalam bidang kepimpinan, ekonomi, perubatan, seni budaya dan pembangunan dasar sosial di alam Melayu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.