Datuk Seri Fahmi ketuai delegasi ITU PP-26 di Doha

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil/Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 November – Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Plenipotentiary Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di Doha, Qatar dari 6 hingga 11 Nov ini dengan misi mempertahankan kerusi negara sebagai Ahli Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persidangan akan menetapkan dasar dan pelan strategik ITU 2027 hingga 2030 serta memilih kepimpinan, Lembaga Peraturan Radio dan 48 negara Majlis ITU.
  • Malaysia menyertai bagi memastikan suara dan kepentingan negara terus diwakili dalam perbincangan global mengenai pembangunan telekomunikasi dan ICT.
  • Keahlian Majlis ITU memberi Malaysia pengaruh langsung terhadap dasar, piawaian teknologi, keselamatan siber, infrastruktur digital dan usaha merapatkan jurang digital.

Penyertaan Malaysia dalam persidangan tertinggi ITU yang diadakan setiap empat tahun turut bertujuan memastikan suara dan kepentingan negara terus diwakili dalam perbincangan tentang hala tuju pembangunan telekomunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada peringkat global.

Persidangan berkenaan akan menentukan dasar dan pelan strategik ITU bagi tempoh 2027 hingga 2030, selain menyaksikan pemilihan kepimpinan tertinggi badan berkenaan, anggota Lembaga Peraturan Radio (RRB) serta 48 negara yang bakal menganggotai Majlis ITU.

Jemaah Menteri pada 5 Jun 2025 bersetuju supaya Malaysia melalui Kementerian Komunikasi bertanding semula bagi kerusi Ahli Majlis ITU, manakala pada 2 Sept lepas, persetujuan diberikan supaya Fahmi mengetuai delegasi negara ke persidangan tersebut.

Penyertaan Malaysia kali ini membawa mandat untuk memperkukuh penglibatan negara dalam pembentukan dasar telekomunikasi antarabangsa, selain melaksanakan libat urus dengan negara anggota ITU bagi mendapat sokongan terhadap pencalonan semula Malaysia.

Keahlian dalam Majlis ITU membolehkan Malaysia terus mempunyai suara secara langsung dalam proses membuat keputusan dan penetapan hala tuju sektor telekomunikasi dan ICT global, termasuk aspek pembangunan infrastruktur digital, piawaian teknologi, keselamatan siber serta usaha merapatkan jurang digital.

Majlis ITU yang dianggotai oleh 48 negara bertindak sebagai badan pentadbir antara dua Persidangan Plenipotentiary, dengan tanggungjawab mempertimbangkan dasar telekomunikasi dan ICT, memantau pelaksanaan keputusan persidangan serta meneliti perancangan strategik, kewangan dan program kerja ITU.

Sekiranya dipilih semula, Malaysia berpeluang meneruskan sumbangan dalam pembentukan dasar, peraturan dan piawaian antarabangsa, khususnya berkaitan keserasian dan kebolehoperasian teknologi serta pembangunan ekosistem digital yang lebih inklusif dan mampan.

Keahlian itu juga penting dalam memperkukuh diplomasi digital negara, meningkatkan keterlihatan Malaysia pada peringkat antarabangsa serta memperluas perkongsian pengalaman dan kepakaran dengan negara anggota lain, khususnya di rantau Asia-Pasifik.

Malaysia mempunyai sejarah penglibatan yang panjang dalam ITU sejak menjadi negara anggota pada 3 Feb 1958 dan pernah menganggotai Majlis ITU selama empat penggal berturut-turut dari 1998 hingga 2014.

Malaysia kembali menganggotai Majlis ITU bagi penggal 2023-2026 pada Persidangan ITU PP-22 di Bucharest, Romania.

Pada hari pembukaan ITU PP-26 pada 9 Nov, Fahmi dijadualkan menghadiri mesyuarat rasmi ketua delegasi, majlis pembukaan serta sesi plenari ITU, dan turut akan menyampaikan kenyataan dasar negara.

Selain itu, beliau dijadualkan menyertai perbincangan tematik peringkat tinggi yang menjadi satu daripada platform bagi pemimpin dan ketua delegasi membincangkan isu-isu strategik berkaitan pembangunan telekomunikasi serta ICT.

Malaysia turut akan menganjurkan majlis makan tengah hari di lokasi persidangan sebagai platform untuk memperkukuh jaringan diplomatik dengan negara anggota ITU, di samping mengetengahkan pencapaian serta sumbangan negara sepanjang penggal sebagai Ahli Majlis ITU 2023-2026.

Selain agenda rasmi persidangan, Fahmi turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan komuniti Malaysia di Doha sebelum ITU PP-26 bermula, termasuk Malaysian Association in Qatar, Malaysian Business Executive Council-Qatar, wakil komuniti dan pelajar Malaysia.

Pertemuan itu akan menjadi peluang untuk berinteraksi dengan rakyat Malaysia yang menetap di Qatar serta mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan komuniti Malaysia di luar negara.

Fahmi juga dijangka menghadiri Sukan Malaysia Qatar (SUQMA) yang dianjurkan oleh Malaysian Association of Qatar dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di Doha. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.