KUALA LUMPUR, 11 Julai – Setiausaha Luar United Kingdom (UK), David Lammy, menegaskan komitmen berterusan negaranya dalam memperkukuh hubungan strategik bersama ASEAN ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Persidangan Pasca Menteri Luar ASEAN (PMC) di ibu negara.
Lammy, yang mencatat sejarah sebagai Setiausaha Luar Britain pertama menghadiri persidangan itu sejak UK menjadi Rakan Dialog ASEAN, menyifatkan kehadirannya sebagai satu penghormatan besar dan tanda seriusnya iltizam London terhadap rantau ini.
“Saya harap kesinambungan ini dialu-alukan, lebih-lebih lagi ketika dunia kini sedang berdepan pergolakan dan perubahan besar yang membentuk semula masyarakat, ekonomi dan keseimbangan kuasa global,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa negara-negara seperti Britain dan anggota ASEAN perlu bertindak dengan daya tahan, inovasi dan keberanian, selaras nilai-nilai ASEAN Community Vision 2025 dalam menghadapi cabaran global.
Lammy turut menyatakan keyakinan terhadap potensi besar rantau ASEAN sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi global, sejajar dengan strategi perdagangan luar UK, sambil mengulangi sokongan padu London terhadap keamanan dan kestabilan serantau.
“Kami komited untuk membuka potensi ini bersama ASEAN. Inilah sebabnya kami menyokong keputusan-keputusan blok ini dan menumpukan kepada pembangunan serta keselamatan di Asia,” katanya lagi.
Menyentuh soal geopolitik, Lammy turut menyuarakan kebimbangan terhadap penglibatan tentera Korea Utara bersama Rusia dalam konflik Ukraine, yang menurutnya membawa implikasi serius kepada keamanan dan kestabilan global.
Setakat ini, hampir 95 peratus daripada pelan tindakan bersama ASEAN–UK berjalan lancar, termasuk projek keterhubungan yang diumumkan dalam kenyataan menteri bersama tahun lalu.
Menuju ulang tahun kelima hubungan ASEAN–UK tahun depan, Lammy berharap pelan tindakan baharu dapat digariskan sehingga 2030 bagi membina kesinambungan strategik yang lebih kukuh.
Persidangan PMC ASEAN menjadi medan utama memperkukuh kerjasama pelbagai dimensi antara ASEAN dan rakan luar, dengan UK kini memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong kestabilan serta pertumbuhan rantau Indo-Pasifik.