KUALA LUMPUR, 11 Julai – ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) kini memberi tumpuan khusus terhadap usaha memperkukuh keselamatan serantau menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang strategik, termasuk keselamatan maritim, keselamatan siber, serta pembanterasan jenayah rentas sempadan.
Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Datuk Seri Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof berkata, kerjasama antara ASEAN dan EU kini bukan lagi sekadar perbincangan di peringkat dasar, sebaliknya telah berkembang kepada pelaksanaan diperingkat serantau.
Datuk Seri Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof - Foto FB Datuk Seri Mohamad Hasan
"Kerjasama kita telah berkembang secara berterusan daripada sekadar dialog mengenai isu serantau dan global kepada kerjasama yang lebih kukuh dalam bidang utama seperti kerjasama maritim, keselamatan siber, dan pembanterasan jenayah rentas sempadan.
"Ini amat penting dalam mewujudkan persekitaran yang aman, stabil dan berasaskan peraturan di rantau kita," katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama EU, di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut mengambil maklum kemajuan positif dalam pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN-EU (2023–2027) dan membincangkan langkah-langkah untuk terus memperkukuh perkongsian strategik ASEAN-EU.
Perwakilan Tinggi EU, Kaja Kallas - Foto FB Mohamad Hasan
Selain Menteri-Menteri Luar ASEAN dan wakil, mesyuarat turut dihadiri Perwakilan Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Kaja Kallas, serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.
Manakala, Timor-Leste turut hadir sebagai pemerhati.