PETALING JAYA, 4 Julai - United Kingdom (UK) komited untuk memperkukuh kerjasama dengan ASEAN melalui pendekatan 'One Health'.
Duta Besar UK ke ASEAN Sarah Tiffin berkata, pendekatan itu diperkenalkan bagi menangani ancaman kesihatan serantau melibatkan manusia, haiwan dan alam sekitar.
"Kami cukup berbesar hati apabila ASEAN menerima pakai Pelan Tindakan Bersama 'One Health'. Kami amat menyokong usaha ASEAN melaksanakan pelan tersebut, yang merupakan komitmen di peringkat kepimpinan terhadap pendekatannya. UK juga mempunyai pasukan yang hebat dari Agensi Keselamatan Kesihatan yang berpangkalan di rantau ini.
"Mereka bekerjasama rapat dengan pakar dari seluruh ASEAN dalam isu-isu berkaitan 'One Health'. Ini penting untuk mewujudkan pandangan dan kerjasama," katanya dalam sidang media selepas pelancaran 'ASEAN-UK Health Security Partnership Programme' di sini.
Sebagai rakan dialog ASEAN sejak empat tahun lalu, UK melihat pendekatan 'One Health' sebagai keutamaan strategik.
'ASEAN-UK Health Security Partnership Programme' dianjurkan buat kali kelima yang memberi tumpuan kepada isu keselamatan serantau.