fb fb fb fb fb

UiTM setuju tawar menu makanan serendah RM3.50 kepada pelajar

SHAH ALAM, 13 Julai- Kesemua 35 kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) menawarkan menu makanan kepada pelajar serendah RM3.50 sejak 8 Julai lepas untuk pelaksanaan inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia bagi meringankan kos perbelanjaan penuntut universiti.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata universiti itu mempunyai lebih 400 penggerai di seluruh kampusnya dan hampir kesemua mereka menyatakan kesanggupan untuk menyediakan menu berharga RM3.50 dengan syarat ia adalah menu khas manakala pilihan menu lain masih boleh ditawarkan.

"Mereka peniaga kata sanggup, dengan syarat yang berharga RM3.50 itu iaitu menu khas yang dipanggil menu Keluarga Malaysia. Ada pilihan la, ada yang empat kuih, ada yang nasi dan lauk dan ada nasi dengan ayam. Menu-menu lain kita kekalkan untuk siapa yang ada duit lebih, boleh beli.

Untuk makluman, saya akan mempengerusikan Jawatankuasa Sara Hidup Siswa yang mana kita akan menjalankan pemantauan dan saya juga sudah turun ke dua lokasi di UiTM Shah Alam ini untuk melihat harga-harga yang ditawarkan," kata Profesor Datuk Dr Roziah ditemui pemberita selepas Majlis ‘TREE4FUTURE’ di Kampus Induk UiTM Shah Alam.

‘TREE4FUTURE’ adalah inisiatif penanaman pokok bagi meningkatkan kehijauan kawasan di dalam kampus induknya seiring dengan misi untuk mencapai status Kampus Lestari (Kampus Hijau) menjelang 2025.


(Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor bersama wakil Kedutaan Azerbaijan melancarkan
simbolik perasmian Majlis 'TREE4FUTURE' di UiTM Shah Alam)

Beliau berkata inisiatif tersebut turut dijayakan bersama pihak Kedutaan Azerbaijan bertujuan mempromosikan Bandar Susha sebagai pusat kebudayaan Azerbaijan yang dibina pada abad ke-18 dan meraikan ulang tahun ke-270 Kota Susha (1752-2022). 

Pada 4 Julai lepas, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 bagi setiap hidangan akan diperkenalkan menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.

Media Baharu