fb fb fb fb fb

Projek NSAV dimulakan awal tahun depan

SEREMBAN, 13 Julai- Projek Lembah Aeroangkasa Negeri Sembilan (NSAV) bakal dibangunkan di kawasan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 seluas kira-kira 130 hektar di Labu mulai awal tahun depan.

Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek, NS Corporation telah menandatangani memorandum kerjasama dengan Havelsan iaitu penyedia perisian dan perkakasan yang berpangkalan di Turkiye untuk pembangunan NSAV.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama membangunkan pembuatan komponen aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, pesawat tanpa pemandu serta pembangunan tenaga kerja mahir dan pemindahan teknologi.

"Kita mengharapkan usaha ini dapat dimulakan seawal 2023 dan Insya-Allah akan dimajukan dalam Kawasan smart kauti ataupun parcel B Malaysian Vision Valley 2.0 di Labu,"kata Dr Mohamed Rafie.

Pada peringkat awal, 100 jurutera tempatan dilatih di Turkiye sebelum jumlah itu bertambah apabila projek berkenaan dimulakan pada awal tahun hadapan.

Beliau yang juga Pengerusi NS Corporation berkata, projek tersebut membuka peluang pekerjaan kepada puluhan ribu rakyat tempatan.

Ia sebahagian yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Komprehensif MVV 2.0, merangkumi tempoh pembangunan selama 25 tahun meliputi kawasan seluas kira-kira 15,378 hektar.

Pada 7 Julai lalu, lima Memorandum Persefahaman telah ditandatangani di Istana Presiden Turkiye; disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Turkiye,  Recep Tayyip Erdogan yang melibatkan kerjasama dalam pelbagai bidang untuk memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara termasuk pembangunan NSAV di Negeri Sembilan. 


(Datuk Dr. Mohamad Rafie bertukar dokumen selepas menandatangani MOU antara
Perbadanan Negeri Sembilan 
dan Turkish Aerospace Industries di Ankara, 7 Julai lalu)

Media Baharu