fb fb fb fb fb

RUU larangan tukar parti dibahas pada 27 dan 28 Julai

KUALA LUMPUR, 13 Julai- Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bil. 6 2022 dicadang dibahaskan di Dewan Rakyat pada 27 dan 28 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perkara itu tertakluk kepada budi bicara Yang Di pertua Dewan Rakyat.

RUU terbabit bersama penyata laporan Jawatankuasa Pilihan Khas akan diletak di atas meja ahli Parlimen pada 18 Julai ini.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar)

Beliau menerusi satu kenyataan memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bil. 6 2022 hari ini berjaya memuktamadkan draf RUU dan meneliti draf penyata yang bakal dibentang pada persidangan Parlimen bermula 18 Julai hingga 4 Ogos ini.

"Perbincangan hari ini turut meneliti dan mempersetujui garis masa RUU ini termasuk pembentangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Sesi libat urus bersama ahli Dewan Negara dicadang pada 8 Ogos manakala bacaan kali pertama RUU itu di Dewan Negara dicadang pada 9 Ogos, diikuti bacaan kedua pada 10 Ogos ini", katanya dalam kenyataan.

Selepas mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, RUU akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan antara 11 hingga 26 Ogos untuk diperkenan manakala pewartaannya dijangka antara 29 Ogos hingga 2 September depan.

"Garis masa RUU mencadangkan supaya libat urus Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan AGC (Jabatan Peguam Negara) bersama ahli Dewan Rakyat Kerajaan diadakan pada 25 Julai dan libat urus bersama ahli Dewan Rakyat pembangkang pada 26 Julai", katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa persoalan dibangkitkan segelintir ahli Jemaah Menteri menerusi mesyuarat Kabinet pada 1 Jun lalu dan ia sudah dijawab oleh jawatankuasa pilihan khas serta dipanjangkan ke Mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi.

Media Baharu