GERIK, 30 September – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Pejabat Komunikasi Strategik dengan kerjasama Yayasan Pulau Banding telah menganjurkan Program Banding Trail dan Khidmat Komuniti di Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Banun, Gerik, dengan sokongan World Heritage Volunteers (WHV) di bawah seliaan UNESCO.
UiTM menerusi kenyataan memaklumkan, program itu menghimpunkan sukarelawan warga kerja UiTM dan Yayasan Pulau Banding bagi melaksanakan aktiviti penyelenggaraan denai (trail maintenance) di Banding Trail serta pemasangan perangkap kamera untuk memantau aktiviti hidupan liar di kawasan berkenaan.
Selain itu, sukarelawan turut menyantuni komuniti Orang Asli melalui bimbingan akademik, sesi motivasi pembangunan diri serta penyerahan bantuan makanan kepada anak-anak Orang Asli.
Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM, Profesor Dr. Ismie Roha Mohamed Jais berkata penganjuran itu membuktikan peranan universiti bukan sahaja dalam bidang pendidikan malah turut meliputi aspek pembangunan komuniti.
Sukarelawan bersama-sama komuniti anak-anak orang asli di SK RPS Banun/Foto UiTM
“Kerjasama ini mendekatkan UiTM dengan masyarakat Orang Asli di samping memberi kesedaran tentang kepentingan memelihara biodiversiti. Sokongan UNESCO WHV turut memperluas nilai program ini ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY merangkap Penasihat Yayasan Pulau Banding, Datuk Hajah Fazwinna pula menegaskan kolaborasi tersebut akan diteruskan secara berterusan dan menyeluruh.
“Kami telah merangka usaha berterusan termasuk program pendidikan untuk anak-anak Orang Asli, penyelidikan biodiversiti di Royal Belum serta penglibatan lebih ramai sukarelawan antarabangsa.
Pemasangan perangkap kamera bagi tujuan pemantauan hidupan liar bersama NGO Yayasan Pulau Banding/Foto UiTM
"Ini adalah komitmen bersama UiTM dan Yayasan Pulau Banding bagi membina masa depan yang mampan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Pulau Banding Foundation merangkap Penyelaras World Heritage Volunteers, Zulfadhlan Ahmad Khushairi turut menzahirkan sokongan penuh terhadap program tersebut.
“Banding Trail bukan sekadar aktiviti komuniti, tetapi platform antarabangsa untuk menyemai kesedaran bahawa pendidikan dan pemeliharaan alam sekitar perlu bergerak seiring.
"Usaha UiTM dan Yayasan Pulau Banding ini adalah contoh kolaborasi terbaik antara komuniti tempatan dan sukarelawan dunia,” katanya.