JOHOR BAHRU, 30 September– Pemantauan di setiap stesen minyak terutama di sempadan Johor Bahru-Singapura, akan diperketat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Langkah itu bagi memastikan larangan pengisian petrol RON95 bersubsidi oleh kenderaan asing dipatuhi, susulan pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pemantauan berterusan dijalankan melalui rondaan serta maklum balas orang ramai di setiap stesen minyak.
“Kita percaya negara jiran juga sedar kerajaan tegas dalam hal ini. RON95 bersubsidi tidak boleh dijual kepada mana-mana kenderaan berpendaftaran asing sama ada dari Singapura, Thailand atau lain-lain menerusi.
Selain sesi libat urus dengan pengusaha stesen dan syarikat minyak, kita juga ada platform bersama pemilik stesen minyak untuk memastikan maklumat terkini dapat dikongsi dari semasa ke semasa,” katanya.
KPDN turut menyediakan saluran aduan khas bagi menyalurkan maklumat penyelewengan subsidi bahan api.
Sementara itu, pemilik kenderaan pengangkutan awam dan barangan diseru segera mendaftar dengan sistem MySubsidi Petrol Kenderaan Pengangkutan Darat (MySPPKS) untuk menikmati harga subsidi.
Sekiranya berlaku gangguan digital, pengguna masih boleh menebus subsidi secara manual di kaunter stesen minyak sebelum disahkan pengendali.