PUTRAJAYA, 30 September - Lebih 10,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 3,000 anggota Jabatan Imigresen Malaysia akan ditugaskan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua persiapan dilakukan dengan penuh teliti, termasuk pelaksanaan simulasi keselamatan dan latihan intensif.
Ia bagi memastikan tiada sebarang ancaman yang boleh menjejaskan kelancaran sidang berkenaan.
"Persiapan telah dibuat dan pihak Imigresen komited untuk memastikan kelancaran keseluruhan operasi. Segala persiapan dilaksanakan dengan cukup rapi, termasuk pelaksanaan enam modul latihan yang diberikan kepada semua petugas melalui kursus intensif.
"Kita juga menyiapkan semua kemudahan di pintu masuk negara, termasuk laluan khas Premier Lane dan Fast Track, yang kini telah beroperasi sepenuhnya.
"Langkah seterusnya adalah untuk memastikan bahawa semua perancangan yang telah dirangka di atas kertas dapat dilaksanakan dengan sempurna di lapangan. Ini kerana dua komponen utama yang sangat penting dalam persiapan ini adalah aspek keselamatan dan juga proses penerimaan tetamu di pintu masuk negara, " katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini
Dalam pada itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bukan sahaja mewakili suara negara, malah turut mencerminkan pendirian 10 negara anggota yang secara kolektif mempunyai lebih 680 juta penduduk.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bakal menyaksikan kehadiran pemimpin-pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Presiden China, Xi Jinping serta pemimpin dari India dan Brazil.