fb fb fb fb fb

Hampir dua juta pengguna jalan raya bakal disenarai hitam JPJ

Hampir dua juta pengguna jalan raya berdepan tindakan senarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya gagal menjelaskan saman dalam tempoh tawaran diskaun khas yang berakhir pada 31 Disember ini/Foto Hiasan/Bernama

KOTA BHARU, 30 September – Hampir dua juta pengguna jalan raya berdepan tindakan senarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya gagal menjelaskan saman dalam tempoh tawaran diskaun khas yang berakhir pada 31 Disember ini.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 tanpa dikenakan mata demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) bagi tiga jenis kesalahan telah dilancarkan sejak awal Januari lalu.

Menurutnya, tiga kesalahan yang terlibat ialah saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) [Saman 53A], Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).

“Berdasarkan statistik bermula Januari hingga semalam, saman AWAS mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1.45 juta, diikuti notis 114 dengan 296,684 saman dan notis 115 sebanyak 164,598 saman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi Op Khas Gempur Perdagangan di sini, malam tadi.

3009 KTN JPJ SAMAN TERTUNGGAK 2Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan/Foto Bernama

Beliau menegaskan pengguna jalan raya perlu mengambil peluang menyelesaikan saman menerusi tawaran kompaun khas berkenaan kerana tindakan lebih tegas akan dikenakan selepas tarikh akhir.

“Tetapi tiada kesedaran daripada pengguna untuk menyelesaikan saman tersebut walaupun kerajaan telah memberi kadar diskaun flat rate. Jadi, ambillah peluang kerana selepas ini kita akan senarai hitam.

“Tindakan pertama ialah kadar kompaun akan dinaikkan menjadi RM300, mata KEJARA akan dikenakan dan pemandu yang ingkar akan disenarai hitam,” tegasnya.

Dalam pada itu, Muhammad Kifli memaklumkan Terowong Menora di Perak dikenal pasti sebagai lokasi panas bagi kesalahan kamera AWAS, khususnya ketika musim cuti perayaan dengan lebih 3,000 saman direkodkan setiap hari.

Katanya lagi, terdapat juga pesalah trafik yang masih liat membayar saman tertunggak, termasuk ada yang direkodkan sejak 15 tahun lalu melibatkan notis 114 dan 115.

Sementara itu, beliau berkata JPJ terus memperhebat pelaksanaan Op Khas Gempur Perdagangan di seluruh negara sejak 1 September hingga 31 Disember ini, dengan memberi tumpuan kepada pemeriksaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan.

“Sehingga semalam, sebanyak 544,403 kenderaan telah diperiksa dengan 50,629 kenderaan diambil tindakan, termasuk 1,060 disita, manakala 124,700 notis saman telah dikeluarkan.

“Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan termasuk tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan ketiadaan insurans,” katanya.

Tambah beliau, JPJ akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara konsisten, tegas dan tanpa kompromi terhadap pemandu serta pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN