fb fb fb fb fb

UIN Mataram berminat pelajari modul pengurusan dan pensijilan halal UUM

Dekan SMMTC UUM, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad (kiri) menerima cenderamata daripada Dekan Fakulti Syariah UIN Mataram, Dr. Moh. Asyiq Amrulloh (kanan) sempena Simposium Antarabangsa Bersama UIN Mataram dan UUM/FOTO UUM

SINTOK, 29 November - Fakulti Syariah Universitas Islam Negeri Mataram, (UIN Mataram) berminat untuk bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia, (UUM) bagi aspek pengurusan dan pensijilan halal.

Perkara itu dibangkitkan selepas berlangsungnya Simposium Antarabangsa Bersama UIN Mataram dan UUM yang menyaksikan 8 kertas kerja dibentangkan wakil kedua-dua universiti di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, SMMTC UUM.

Salah satu kertas kerja dibentangkan bertajuk Integriti Halal: Analisis Rangka Kerja dan Tadbir Urus Pensijilan Halal di Malaysia oleh Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof telah menarik minat Dekan yang juga ketua delegasi UIN Mataram, Dr. Moh. Asyiq Amrulloh untuk meneroka lebih mendalam mengenai pengurusan dan pensijilan halal.

UUM menerusi Institut Pengurusan Halal, IHM antara lain pernah membantu sebuah syarikat minuman di Kinberg, Austria memperoleh sijil halal termasuk menaiktaraf syarikat Knorr-Kohlhofer KG untuk memenuhi spesifikasi halal mengikut piawaian antarabangsa.

Dr. Moh. Asyiq yang juga merupakan ahli panel bagi pensijilan halal di Lombok tertarik dengan kepakaran UUM bagi meningkatkan lagi aspek pengurusan dan pensijilan halal khusus melibatkan industri di Lombok.

Selain meneroka kerjasama di dalam pengurusan dan pensijilan halal, Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad pula, mencadangkan supaya elemen teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), media baharu dan data analitik diterapkan dalam kurikulum pengajian Islam peringkat sarjana muda dan sarjana.

Ini kerana, kehidupan manusia pada hari ini termasuk umat Islam sangat dipengaruhi oleh teknologi.

Penerapan elemen baharu ini berupaya mencari jawapan dan penyelesaian kepada permasalahan kontemporari yang dihadapi umat Islam pada hari ini.

“Melihat kepada sejarah pemikiran Islam itu sendiri, kita dapati ramai pengasas ilmu sains dan teknologi hari ini adalah tokoh atau pemikir Islam seperti Ibnu Sina dan Al-Farabi misalnya. Jadi, pada hari ini, penerapan dan penggunaan ilmu teknologi membolehkan jawapan lebih tepat diperoleh bagi sesuatu isu berkaitan umat Islam.

“SMMTC sedia bekerjasama dengan institusi pengajian Islam di Indonesia bagi meneroka perkara ini dan membolehkan pertukaran kepakaran akademik seperti mewujudkan program pensyarah pelawat dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Mohd Khairie berkata, penganjuran simposium antarabangsa ini adalah sebahagian pelaksanaan di bawah memorandum persefahaman, MoU dan memorandum perjanjian, MoA melibatkan UIN Mataram dan UUM yang dimeterai bulan Mei lalu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD