fb fb fb fb fb

PEDi pemangkin ekonomi digital, tingkat taraf hidup sosioekonomi rakyat - Fahmi

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 29 November - Pusat Ekonomi Digital (PEDi) kini turut berfungsi sebagai pemangkin ekonomi digital yang membantu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti tempatan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata PEDi yang pada mulanya menawarkan akses internet secara kolektif di kawasan luar bandar bagi golongan kurang berkemampuan, kini turut menawarkan perkhidmatan nilai tambah.

Beliau berkata, perkhidmatan itu turut merangkumi perkhidmatan kesihatan digital, transaksi tanpa tunai, serta perkhidmatan sehenti seperti pembayaran bil dalam talian dan sebagainya.

"Setiap PEDi dilengkapi dengan capaian internet serta menawarkan latihan ICT, keusahawanan digital dan e-pembelajaran bagi manfaat komuniti setempat khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), golongan belia dan pelajar," katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Tambah Fahmi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Shopee dan kakitangan PEDi juga telah berjaya mencapai sasaran bagi tahun ini untuk mendigitalisasikan 7,000 usahawan menerusi platform e-dagang Shopee dengan nilai jualan sebanyak RM15.7 juta.

Sehingga kini,  sejumlah RM55.4 juta nilai jualan telah dicapai melalui inisiatif digitalisasi usahawan sejak 2021.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN