TAWAU, 7 September – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan seorang warga emas di Semporna yang memuat naik kenyataan berunsur ugutan bunuh terhadap saksi pertama inkues kematian pelajar Zara Qairina, Dr Jessie Hiu, sebagai perbuatan melampaui batas kebebasan bersuara.
Beliau yang kesal dengan tindakan tersebut menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan kerana kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyebaran fitnah serta ugutan di media sosial.
“Kita berhak bersuara tetapi ada hak dan batasnya. Tidaklah sampai memfitnah, mengaibkan atau melanggar undang-undang. Kes warga emas di Semporna ini jelas terlalu melampau, namun kita serah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program PRIME peringkat Negeri Sabah di Pusat NADI Kampung Sungai Imam, di sini.
Beliau turut menafikan poster tular yang cuba mengaitkan tokoh politik tertentu dengan kes inkues itu, sambil menegaskan ia adalah tidak benar sama sekali.
Selain itu, Datuk Fahmi memaklumkan MCMC turut mengesan lebih 40 kandungan palsu sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini, termasuk fitnah berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja).