BUKIT MERTAJAM, 9 November - Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan mengumumkan calon Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi satu kerusi di kawasan pedalaman dalam masa terdekat.
Ia susulan pengumuman Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan bertanding di DUN Kemabong semalam.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perbincangan bagi calon kerusi berkenaan masih dijalankan bersama parti-parti komponen Pakatan Harapan.
"Saya kata semalam ada satu kerusi lagi di pendalaman yang belum kita umumkan. Kita akan umumkan dalam masa terdekatlah sebab semalam ada sedikit lagi perbincangan dengan rakan-rakan parti lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2025 di Bukit Mertajam.
Hadir sama, Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong.
Semalam, DAP mengumumkan calon bagi tujuh daripada lapan kerusi yang akan ditandingi DAP dalam pilihan raya tersebut.
Satu lagi calon bagi kerusi DUN kawasan pedalaman akan diumumkan kemudian memandangkan perbincangan masih berlangsung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses penamaan calon PRU DUN Sabah pada 15 November depan.
Manakala, proses pengundian awal ditetapkan pada 25 November dan 29 November sebagai tarikh mengundi.