fb fb fb fb fb

HDC dicadang distruktur semula bawah Suruhanjaya Halal Malaysia

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI - Pemerkasaan Wanita di Politeknik Bagan Datuk. Foto- BERNAMA

BAGAN DATUK, 7 September - Halal Development Corporation (HDC) dicadang distruktur semula dengan diletakkan di bawah Suruhanjaya Halal Malaysia yang bakal diwujudkan di Jabatan Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu penting bagi memperkukuh pembangunan industri halal negara, sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Penyelarasan Agenda Halal Malaysia menjelaskan, ketika ini HDC masih berada di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“HDC sekarang ini berada di MITI, tetapi usaha akan dibuat. Malah kabinet secara dasarnya telah bersetuju Suruhanjaya Halal Malaysia dapat diwujudkan dan diletakkan di bawah JPM. Saya berazam untuk meletakkan semua perjawatan HDC itu di dalam perjawatan sebagai Suruhanjaya Halal Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, penstrukturan semula berkenaan diharap dapat memberi ruang kepada lebih banyak program khas wanita, khususnya dalam bidang keusahawanan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Wanita dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI peringkat kebangsaan 2025 di Politeknik Bagan Datuk, Perak.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa lebih 97 peratus peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia merupakan golongan wanita. Sehubungan itu, bermula tahun depan, MARA menyasarkan lebih 30 peratus pembiayaan akan disalurkan kepada usahawan wanita.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN