SINTOK, 9 November - Seramai 6,832 graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menerima ijazah masing-masing sempena Majlis Konvokesyen Ke-38 universiti itu.
Ia melibatkan sembilan sesi bermula hari ini sehingga 13 November bertempat di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, Sintok, Kedah.
Sultan Kedah merangkap Canselor UUM, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah di majlis konvokesyen kali ini.
Daripada keseluruhan 6,832 graduan tersebut, seramai 5,575 adalah terdiri daripada graduan Sarjana Muda.
Manakala 1,241 merupakan graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana termasuklah 16 orang graduan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan.
Majlis konvokesyen kali ini melibatkan seramai 6,317 graduan tempatan dan 441 lagi adalah graduan antarabangsa, antaranya dari Indonesia (164), China (109), Pakistan (36), Arab Saudi (23), Nigeria (21), Somalia (18), Iraq (17) dan lain-lain seramai 53 orang.
Tahun ini, UUM berbesar hati menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan Islam kepada Pengerusi International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) University, Tan Sri Azman Mokhtar, 64 tahun dan sekali gus menjadikan keseluruhan penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah adalah seramai 55 orang bermula dari majlis konvokesyen pertama pada tahun 1988.
Sementara, Anugerah Pelajaran DiRaja dikurniakan kepada Mohammad Noor Aiman Hassan Nudin, 23 tahun, berasal dari Tawau, Sabah dan Vianca Syam A/P Shamlal, 24 tahun, dari Kedah. Manakala, Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Wong Yoong Wai, 24 tahun, dari Seremban, Negeri Sembilan.
Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja akan menerima RM7,500 berserta sijil, manakala penerima Anugerah Pingat Emas Canselor menerima RM4,000 berserta sijil.