fb fb fb fb fb

Ibu bapa tonggak kasih sayang dan bimbingan anak-anak

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail /RTM

PUTRAJAYA, 9 November -Ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai benteng perlindungan utama keluarga dengan menekankan kasih sayang, bimbingan agama dan komunikasi terbuka kepada anak-anak.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beberapa insiden luar jangka melibatkan kanak-kanak dan remaja yang berlaku baru-baru ini amat membimbangkan.

Katanya, isu itu menuntut perhatian serius semua pihak khususnya ibu bapa untuk memantau emosi serta pergaulan anak.

Mengulas lanjut Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata, ibu bapa harus mewujudkan persekitaran penuh kasih sayang dan memberikan perhatian sewajarnya kepada anak masing-masing.

"Setiap kali kejadian sebegitu tular, kita akan tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku kepada anak-anak kita.
Sedar atau tidak anak kita kini berdepan tekanan dan pengaruh yang semakin kompleks daripada media sosial, rakan sebaya hinggalah kepada cabaran kesihatan mental, namun dalam setiap cabaran, kita harus sedar keluarga adalah benteng perlindungan utama.

"Satu lagi perkara utama ingin saya tekankan dalam usaha membentuk keluarga harmoni ialah menerusi bimbingan agama, nilai murni dan akhlak mulia supaya anak kita mempunyai benteng lebih kuat untuk menolak pengaruh negatif.

"Kita perlu prihatin dan bertanya apa yang berlaku di sekolah dan pergaulan mereka. Kita perlu pantau aktiviti media sosial anak, mengenali perubahan emosi atau tingkah laku mereka dan buka ruang kepada anak bercerita tanpa membuat penilaian awal, tanpa mengadili, " katanya ketika berucap merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025, di sini.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan program Pakej KASIH MADANI 2.0 sebagai langkah proaktif memperkukuh hubungan pasangan suami isteri dan peranan bapa sebagai tonggak keluarga.

Bertemakan 'KASIH Keluarga, Bahagia Bersama', sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 adalah seruan kepada penghayatan nilai 'KASIH' merangkumi kasih sayang, akhlak mulia, gaya hidup sihat, pencapaian ilmu yang memupuk pemikiran kritis dan celik maklumat serta suasana harmoni.

TETITIA YUSOFF