KLUANG, 9 November - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan melaksanakan Banci Ekonomi yang keenam, melibatkan seluruh negara, bermula awal Mac tahun hadapan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, persiapan di peringkat akhir sedang dilaksanakan termasuk sesi latihan, libat urus bersama pemain industri dan persatuan peniaga.
"Jadi bancian ini untuk menyokong pelaksanaan negara dalam dasar-dasar perindustrian negara dan juga untuk kita membantu inisiatif yang telah pun dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Terdapat beberapa program yang perlu kita ukur keberkesannya, misalnya bagaimana kita boleh melihat area berkaitan dengan tenaga boleh baharu, idea yang berpotensi untuk kita lihat sebagai industri pertumbuhan tinggi", katanya.
Pelaksanaan banci berkenaan melibatkan semua sektor termasuk pertanian, pembuatan, perlombongan dan perkhidmatan.
Ia penting memandangkan terdapat kira-kira 1.2 juta pertubuhan perniagaan direkodkan di seluruh negara, dengan jumlah yang terbesar antaranya di Johor.
Beliau yakin dengan data yang diperoleh, dapat mengukukuhkan sektor ekonomi negara sekali gus, meningkatkan daya saing bagi menyerap tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Beliau ditemui semasa Program Literasi Statistik Bersama Komuniti, Sempena Hari Statistik Negara 2025 di Hutan Rekreasi Gunung, Lambak, Kluang, Johor.