KUALA LUMPUR, 27 November - Polis Sarawak akan meningkatkan tahap keselamatan susulan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) yang dijadualkan bermula esok hingga 30 November ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata langkah itu bagi memastikan keselamatan Perdana Menteri yang dilaporkan menerima ancaman bunuh.
Mancha berkata, seramai 559 anggota polis akan ditugaskan menjaga keselamatan sepanjang program edisi kedua itu berlangsung.
"Kami bersedia untuk memperketatkan dan meningkatkan aturan keselamatan semasa kehadiran beliau di sini. Setakat ini, polis telah memperketatkan kawalan keselamatan termasuk tindakan risikan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.
Pada Ahad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung ugutan bunuh ke atas Perdana Menteri itu.
Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik, namun video berkenaan sudah dipadamkan.
Tambah beliau, semua elemen PDRM akan menumpukan aspek penugasan yang merangkumi kawalan keselamatan ke atas VVIP dan orang ramai.
"Ini termasuk kawalan lalu lintas dan pelan tindakan ke atas perkara-perkara di luar jangkaan.
"PDRM Sarawak juga menggesa agar masyarakat memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan program ini herlangsung dengan lancar dan selamat,” tambahnya.
Dijangka turut hadir dalam program tersebut adalah wakil Presiden Repulik Indonesia, Prof. Dr. Ma’ruf Amin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Menteri-menteri, Duta-duta dari dalam dan luar negara.
Sebanyak 48 negara dari benua Eropah, Amerika Utara, Timur Tengah, Asia, Afrika dan Oceania akan hadir pada forum tersebut disertai seramai 718 orang peserta hadir sebagai moderator dan penceramah.
Objektif penganjuran adalah untuk menggalakkan dialog dan wacana mengenai ekonomi Islam global disamping meneroka amalan terbaik dan inovatif dalam pelbagai domain seperti kewangan Islam, teknologi hijau dan pertanian.