KUALA LUMPUR, 27 November- Malaysia mengalu-alukan pemain industri dari Monaco dalam pengukuhan hubungan bilateral serta kerjasama pertumbuhan ekonomi mampan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengembangan perniagaan syarikat-syarikat dari negara tersebut selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) 2030 yang memberi tumpuan kepada kelestarian.
Sehingga Jun 2023, Malaysia telah menarik sejumlah 22,105 projek asing yang diluluskan dalam bidang pengilangan dari seluruh dunia dan sebanyak 13 peratus daripadanya adalah dari Eropah.
"Malaysia merupakan lokasi yang ideal bagi perniagaan untuk memperluaskan pengaruhnya ke rantau Asia Pasifik, sekali gus menonjolkan peluang besar yang boleh dimanfaatkan oleh pemain industri dari Monaco.
"Kebersamaan antara kedua negara adalah tempat yang sesuai untuk para peniaga mengembangkan jangkauannya ke rantau Asia Pasifik. Jadi ia menggariskan prospek luar biasa yang sedang dibina oleh Monaco. Malaysia mempunyai pandangan baik tentang syarikat-syarikat tersebut pada masa lalu dan Malaysia boleh melakukan lebih banyak lagi", katanya semasa berucap pada Forum Ekonomi Monaco 2023 di ibu negara.
Turut berkenan berangkat menghadiri forum tersebut ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta Putera Monaco Putera Albert II.
Sementara itu, satu Memorandum Persefahaman(MoU) antara Kelab Kapal Layar Diraja Selangor dan Kelab Kapal Layar Monaco turut ditandatangani bagi mengukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua kelab berkenaan.
Pemeteraian MoU tersebut disaksikan oleh Putera Albert, yang juga merupakan Presiden Kelab Kapal Layar Monaco dan Tengku Amir Shah.