PUTRAJAYA, 27 November- Keberkesanan pengurusan dan rawatan pesakit kanser di Institut Kanser Negara (IKN), jauh lebih baik berbanding 10 tahun lalu.
Dapatan awal kajian, mendapati 93 hingga 95 peratus pesakit kanser payudara yang dirawat di institusi tersebut mempunyai peluang hidup melangkau tiga tahun berbanding 86 hingga 91 peratus, 10 tahun lepas.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kajian yang dilakukan baru-baru ini turut menunjukkan bahawa 56 peratus pesakit kanser paru-paru pula mempunyai peluang hidup melangkaui tiga tahun berbanding hanya 23 peratus pada 10 tahun lepas.
Beliau berkata pengesanan awal kanser paru-paru adalah projek kerjasama antara IKN dan Astra Zeneca menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ia berpotensi membolehkan rawatan diberikan pada tahap lebih awal untuk peluang kesembuhan dan kelangsungan hidup yang lebih baik.
"Sebenarnya jumlah perbelanjaan langsung Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) sebanyak RM9.6 bilion, sangat tinggi merangkumi 16.8 peratus jumlah perbelanjaan kesihatan di Malaysia, untuk rawatan kanser lebih RM1.3 bilion sangat tinggi.
"IKN harus terus kekal jadi agensi dapat membantu pengesanan awal dan menyediakan perawatan kanser di Malaysia, selain menganjurkan program kesedaran dan pencegahan kanser sehingga akar umbi", katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal IKN di Putrajaya.
Tambahnya, Kementerian Kesihatan (KKM) optimis untuk melihat IKN membangunkan teknologi seperti Teknologi ‘Genomic Medicine’ dan ‘Precision Medicine’ dalam rawatan kanser.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengarah IKN, Dr. Mohd Anis Haron.